Telecom invests RM5 million for SFA

October 12, 2004

PETALING JAYA 12 Okt. - Telekom (M) Bhd. (Telekom) melabur lebih RM5 juta untuk pemasangan Sistem Automasi Jualan (SFA) bagi melancarkan lagi proses jualan dan pemasaran yang dikendalikan oleh unit Pengurusan Perhubungan Pelanggannya (CRM).

Dengan adanya sistem tersebut, Telekom menjangkakan ia mampu menjimatkan masa sehingga 50 peratus daripada keseluruhan proses jualan dan perkhidmatan pelanggan, kata Pengarah Program CRM Telekom, Liew Hon Nknew.

Menurut beliau, sistem berkenaan digunakan untuk dua fungsi utama iaitu mengemaskini data dan akaun pelanggan sedia ada selain menguruskan permohonan pelanggan baru sehingga selesai proses jualan.

"Sistem ini secara tidak langsung akan memudahkan eksekutif jualan Telekom menguruskan kerja masing-masing secara lebih teratur."

"Sekiranya ia dimanfaatkan sepenuhnya oleh kakitangan Telekom, saya percaya mereka mampu mendapatkan apa juga data dan sejarah pelanggan dengan lebih pantas,'' katanya di sini hari ini.

Liew berkata demikian selepas majlis penyerahan/penyempurnaan kontrak aplikasi sistem daripada anak syarikat milik penuh Dataprep Holdings Bhd., Solsis (M) Sdn. Bhd. (Solsis).

Solsis mula membangunkan sistem tersebut sejak bulan Ogos 2003 sebelum ia mula dilancarkan pada 28 Jun lalu di seluruh kedai Telekom.

Sehingga kini, lebih 1,000 pelanggan berdaftar yang berurusan menggunakan sistem SFA di seluruh negara.

Menurut Liew, buat masa ini, sistem SFA tidak digunakan untuk urusan jualan pelanggan kediaman sebaliknya ia digunakan untuk pelanggan-pelanggan yang mempunyai akaun yang besar di sektor perniagaan.

Katanya, sistem berkenaan hanya digunakan untuk urusan pelanggan kediaman sekiranya Telekom melaksanakan sebarang kempen di sesebuah kawasan sahaja.

"Berdasarkan rekod, Telekom mempunyai lebih satu juta pelanggan perniagaan di seluruh negara dan kami akan melaksanakan urusan jualan menggunakan sistem SFA di kalangan pelanggan-pelanggan ini secara berperingkat-peringkat,'' jelas beliau sambil menambah SFA juga akan memudahkan proses penyediaan data analisis untuk akaun pelanggan.

Utusan Malaysia

Back to top